Friday, January 31, 2014

Mahkamah itu apa? Ajarkan saya tentang apakah itu mahkamah?

Mahkamah ialah tempat di mana sesuatu prosiding kehakiman dimulakan. Terdapat dua jenis prosiding kehakiman di Mahkamah Keadilan. Pertama, prosedur sivil dan kedua, prosedur jenayah. Prosiding Sivil boleh dimulakan oleh sesiapa sahaja terhadap sesiapa sahaja. Tuntutan sivil yang paling kerap wujud di Mahkamah Keadilan biasanya dimulakan oleh pihak bank. Pihak bank lah yang paling kerap memfailkan tuntutan Saman ke atas peminjamnya yang ingkar terhadap Perjanjian Pembiayaan. Bank akan menjadi Plaintif. Plaintif ialah pihak yang memulakan tindakan Saman. Dan peminjam yang ingkar pembayaran akan dinamakan sebagai Defendan. 

Kita ambil contoh berikut; di mana 5 tahun yang lepas, Johari membeli sebuah kereta dan membuat pinjaman dengan Bank ABC untuk membiayai pembelian keretanya. Johari telah menandatangani suatu perjanjian dengan Bank ABC. Perjanjian tersebut ialah Perjanjian Sewa Beli Kenderaan. Tempoh bayaran balik pinjaman Johari kepada Bank ABC menurut Perjanjian tersebut ialah selama 9 tahun dan bayaran bulanannya ialah sebanyak RM500 sebulan. 

Pada tiga tahun pertama sewabeli, Johari berjaya membayar kepada bank tersebut dengan sebaiknya. Manakala sejak, tahun 3 seterusnya, Johari sentiasa lewat membayar hutangnya. Akibatnya, pada tahun kelima, Johari tertunggak membayar pinjamannya sehingga 9 bulan lamanya. Pihak bank telah mengarahkan peguamnya menuntut kembali kenderaan yang disewabeli oleh Johari dan seterusnya menamatkan kontrak perjanjian Sewa Beli tersebut. Kes tersebut berakhir dengan suatu prosiding Saman oleh pihak bank terhadap Johari untuk menuntut bayaran tertunggak dan baki pinjaman yang mesti dibayar oleh Johari kepada bank. 
Suasana dalam sesebuah mahkamah
Johari berasa amat susah hati kerana menerima Saman daripada pihak bank agar beliau hadir ke Mahkamah. Kedudukan kewangan Johari yang amat kritikal tidak membolehkan beliau untuk mendapatkan khidmat guaman. Johari diselubungi oleh rasa takut dan gementar kerana tarikh untuk beliau hadir ke Mahkamah tinggal hanya 2 hari lagi. Akhirnya, Johari bertemu dengan rakan lamanya yang kini adalah seorang peguam. Beliau meminta nasihat guaman secara pro bono dari rakan peguamnya. Beliau kemudiannya ditanyakan beberapa soalan oleh rakannya. 

Peguam: Berapakah jumlah tuntutan Saman tersebut? 

Johari: Termasuk tuntutan faedah semuanya berjumlah RM32 ribu. 

Peguam: Jika demikian, sekiranya Penghakiman dimasukkan, dalam prosiding perlaksanaan nanti tindakan Kebangkrapan boleh dimulakan pula. 

Johari: Apa? Saya akan dibankrapkan? 

Peguam: Begitulah nantinya... 

Johari: Jadi, apa yang saya harus lakukan sekarang? 

Peguam: Di manakah kenderaan tersebut? 

Johari: Saya simpan. Kerana takut ditarik oleh pihak bank. Salahkah saya berbuat demikian? 

Peguam: Oh! Saya tak akan komen tentang itu. Cuma... Bolehkah awak serahkah kenderaan itu kepada pihak bank secara sukarela? 

Johari: Rugilah saya nanti, ... kerana pihak bank akan lelong kenderaan tersebut dengan harga yang rendah... Saya telah diberitahu oleh seorang rakan, jumlah lelongannya adalah lebih kurang RM11ribu sahaja. Dan saya masih berhutang dengan bank lebih kurang RM21 ribu lagi... 

Peguam: Jika demikian, awak cuba dapatkan harga yang lebih baik untuk kenderaan awak. Jangan risau... Lusa awak hadir ke Mahmakah dan failkan Pembelaan awak. Pasti pihak Mahkamah akan berikan lanjutan masa lagi. 

Johari: Bagaimana nak failkan Pembelaan? Saya tidak tahu. 

Peguam: Awak hanya jawab ..... 'Saya tiada pengetahuan tentang perenggan .... Pernyataan Tuntutan tersebut'. Itulah yang awak akan tulis di dalam Pernyataan Pembelaan awak. 

Perbualan sepintas lalu tersebut, sedikit sebanyak mengurangkan rasa kerisauan Johari dan beliau segera menyiapkan Pernyataan Pembelaan seperti yang diajar oleh rakan peguamnya. Johari telah menyiapkan suatu Pembelaan Kosong beliau atau dipanggil sebagai "bare Defence". Meskipun, ianya hanya suatu "bare Defence", secara teknikalnya beliau telah memfailkan Pembelaan terhadap Saman tersebut dan Mahkamah memberikan suatu tarikh sebutan untuk pihak bank memfailkan Penghakiman Terus. 

Secara ringkasnya, lebih kurang 3 bulan dari tarikh beliau kena hadir ke Mahkamah buat kali pertama, Penghakiman atau Perintah masih belum lagi diperolehi oleh pihak bank ke atasnya. Akhirnya, selepas 6 bulan dari tarikh beliau kena hadir ke Mahkamah, pihak Bank telah mendapatkan Perintah bagi Penghakiman Terus terhadap Johari. Dalam tempoh tersebut, Johari berjaya menjual kenderaannya dengan harga RM25ribu. Jumlah tuntutan bank mengikut rekod adalah sebanyak RM34ribu, dan setelah ditolak akhirnya hutang Johari kepada bank hanyalah RM9ribu. 

Setelah berjumpa dengan pihak bank, hutang beliau telah diberikan pengurangan sebanyak RM5ribu dan cara pembayarannya sebanyak RM150 sebulan sehingga penyelesaian keseluruhannya. Dalam tempoh 2 tahun selepas itu, Johari berjaya melunaskan hutangnya dengan pihak bank. Pada mulanya tadi, Mahkamah telah menjadi suatu tempat yang amat menakutkan buat Johari, kini tidak lagi. Johari berjaya mengatasi ketakutannya setelah bertemu dengan rakan lamanya. Meskipun, nasihat guaman yang diterimanya adalah berbentuk 'common sense', 

Johari dapat mengapresiasikan nasihat tersebut dengan kebolehan mindanya berfikir untuk merungkai permasalahan. Demikianlah maksud dan pengertian Mahkamah kepada Johari. Ianya adalah suatu institusi untuk memberikan keadilan kepada semua pihak.

No comments:

Post a Comment