Friday, August 29, 2014

Orang yang mula-mula bercakap tentang Merdeka di Tanah Semenanjung ialah datuk saya

1. Orang yang mula-mula bercakap tentang Merdeka di Tanah Semenanjung ialah datuk saya. Masjid di Kampung Lalang, Padang Rengas dinamakan sebagai Masjid Al Huriyyah. Al Hurriyah bermaksud Kemerdekaan! Di sanalah berdatangan anak-anak muda pejuang kemerdekaan seperti Dr Burhanuddin Al Helmy dan Ahmad Boestaman merancang perjuangan dan semangat merdeka sehingga tertubuhnya Partai Kebangsaan Melayu Malaya di Ipoh. 

2. Masa ini UMNO belum ada lagi. Mereka belajar istilah Merdeka daripada datuk saya yang merupakan seorang lulusan Al Azhar bersama Syeikh Syed Tahir Jalaluddin dan berebapa Ulama' lagi. Mereka digelar Kaum Muda. Ketika ini istilah Wahabi di Malaysia digelar Kaum Muda. Dan datuk saya juga menyemarakkan semangat penubuhan sebuah negara Islam di atas Gunung Semanggol di Madrasah sahabatnya, Ustaz Abu Bakar Al Baqir. Beliau juga penyusun Kamus Arab Melayu Yang Pertama bersama sahabatnya Syeikh Idris Al Marbawi. Maka digagaskan di Gunung Semanggol suatu pergerakan yang dinamakan sebagai Hizbul Muslimin. Inilah nadi utama yang menjadi roh semangat perjuangan politik Pro Islami yang akhirnya dinamai sebagai PAS kerana Hizbul Muslimin atau HAMIM diharamkan oleh British. 

3. Anak sulungnya Sakinah Junid seorang pemimpin emansipasi wanita. Di dalam Mesyuarat Agung AWAS yang Pertama beliaulah yang mengemudikan Mesyuarat tersebut. Beliaulah orang yang menubuhkan Sayap Wanita di dalam PAS yang dinamai Dewan Muslimat PAS dan menjadi ketuanya selama 20 tahun. Suaminya, iaitu menantu datukku adalah Arkitek yang merancang perkembangan PAS khususnya sebaran luas PAS di Pantai Timur Semenanjung. Aku sudah menjadi seorang PAS sejak usiaku 5 tahun. Aku kenal dan akrab sekali dengan lambang Bulan Putih diselimuti kehijauan. 

4. Rumah Arwah datukku sememangnya Markas PAS bertahun lamanya. Ramai bapa saudaraku samada mereka itu anak atau menantu datukku menjadi Pimpinan Kanan PAS samada di peringkat negeri atau Pusat. Pada PRU 1978, usiaku 6 tahun. Aku menangis bila melihat PAS tewas di Kelantan. Angkara siapa? Kini aku ada sebuah buku kecil bertajuk Darurat di Kelantan; maka tahulah aku siapakah dalang. Huru-hara yang direkayasa oleh UMNO pada waktu itu memang sangat jahat. Beberapa tahun selepas itu wujud Young Turks di dalam PAS. Mereka membikin panas dalam Mesyuarat Agung PAS sehingga menjatuhkan pemimpin mereka dengan cara yang sangat tragis! PAS sudah ada sejarah yang sangat hitam.

AHMAD ANSOR BATUBARA

1 comment:

  1. Dan kini PAS sering berputar putar 180° ke kiri & kanan. Sekejap berpeluk peluk dengan LKS, sekejap berpeluk peluk dengan MO1...

    ReplyDelete