Friday, January 31, 2014

Negara Merdeka maknanya orang Cina dan orang India boleh jadi Perdana Menteri

Sebelum anda sebagai orang Melayu ataupun anda sebagai seorang Muslim membaca artikel ini anda mestilah tenangkan jiwa anda dan berpegang teguh kepada prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Di dalam bahasa Inggeris ianya disebut sebagai Supremacy of the Constitution dan Rule of Law. Kedua-dua prinsip tersebut ialah prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara. 

Perlembagaan tidak pernah sama sekali melarang orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tidak seperti yang terkandung pada sesetengah provisi Undang-undang Tubuh sesebuah negeri. UMNO atau United Malays National Organisation juga membenarkan orang bukan Melayu asalkan taraf pribumi atau bumiputeranya jelas untuk diterima sebagai ahli UMNO. Malah orang bukan Melayu yang beragama Islam juga dibenarkan menjadi ahli sehingga diangkat menjadi pemimpinnya. 

Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-duanya, mengikut cakap-cakap ramai, bukanlah berdarah Melayu jati tetapi kini telah dianggap dan diterima secara meluasnya sebagai pemimpin Melayu. Jawatan Perdana Menteri menurut Perlembagaan Persekutuan bukanlah kuasa tertinggi di dalam negara Malaysia. Apakah tugas pertama seorang Perdana Menteri?
Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya
Tugas ulungnya ialah menjadi Pengerusi kepada Jemaah Menteri. Perdana Menteri ialah orang yang dilantik oleh Yang DiPertuan Agong; iaitu orang yang Yang DiPertuan Agong menurut hematnya MUNGKIN mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Perlembagaan tidak menyebut secara jelas dan nyata apakah prinsip asas dalam bernegara di Malaysia; namun Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan menyatakan secara tersirat bahawa Prinsip-prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi berParlimen adalah terpakai di Malaysia. Laporan di dalam Suruhanjaya Reid ada menyatakan tentang prinsip-prinsip ini, namun ramai yang tidak berkesempatan melihat dan membaca isi kandungannya secara zahir. 

Setelah Perdana Menteri dilantik, maka beliau hendaklah menasihatkan Yang DiPertuan Agong akan siapakah di kalangan ahli Dewan Parlimen yang akan dilantik sebagai ahli-ahli kepada Jemaah Menteri tersebut. Dan Perdana Menteri juga boleh memecat seseorang ahli Jemaah Menteri yang telah dilantik itu dengan hanya menasihati Yang DiPertuan Agong untuk melakukan sedemikian. Inilah teori asas berkenaan kuasa eksekutif di dalam negara Malaysia meskipun terdapat pengecualian dalam hal-hal yang tertentu. 

Kuasa seorang Perdana Menteri terletak ditangan kuasa majoriti ahli Dewan Rakyat. Sekiranya majoriti ahli Dewan Rakyat hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri itu maka beliau hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri yang dipengerusikan olehnya. Dan pada ketika itu negara tidak ada Perdana Menteri dan/atau Jemaah Menteri untuk menasihati Yang diPertuan Agong menjalankan tugas eksekutifnya. Namun janganlah dilupai bahawa Yang DiPertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Dan inilah maksudnya Raja berPerlembagaan. 

Raja berPerlembagan bukanlah sistem monarki mutlak. Ianya adalah satu sistem monarki yang dibimbing oleh sesuatu undang-undang tertinggi bagi sesuatu negara. Pada setiap masa dan saat kuasa Raja berPerlembagaan ini hendaklah wujud dan terlaksana. Sekiranya seseorang yang menjawat jawatan Yang DiPertuan Agong itu hilang kuasanya menurut Perlembagaan, maka secara operasi undang-undang (baca: secara automatiknya), seseorang yang menjawat jawatan Timbalan Yang di Pertuan Agong mengambil alih tugasnya di saat dan ketika kuasa orang yang menjawat jawatan Yang diPertuan Agong itu hilang. Dan jika hilang pula kuasa orang yang menjawat jawatan Timbalan Yang DiPertuan Agong, maka kuasa seorang Ketua Utama Negara terletak kepada Majlis Raja-raja.

Raja berPerlembagan ialah suatu kuasa yang melambangi Perlembagaan itu sendiri. Manakala kuasa seorang Perdana Menteri dan/atau Jemaah Menteri adalah berasaskan prinsip Demokrasi berParlimen. Kedua-dua kuasa ini ditakluki oleh prinsip Kedaulatan Undang-undang. Kedaulatan Undang-undang berasaskan prinsip keadilan. Dan prinsip keadilan bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi moden adalah melalui undang-undang. Inilah konsep sistem pembahagian kuasa di dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Sistem pembahagian kuasa menyatakan bahawa setiap Cabang Kuasa itu mempunyai kuasa untuk semak dan seimbang di antara satu sama lain.

Undang-undang adalah kuasa. Dan terdapat tiga cabang kuasa yang mengawal selia Undang-undang. Iaitu, kuasa menggubal Undang-undang, kuasa mentadbir Undang-undang dan kuasa melaksanakan Undang-undang. Kuasa menggubal undang-undang terletak pada suatu badan yang dinamakan sebagai Parlimen. Kuasa untuk mentadbirnya diketuai oleh Jemaah Menteri dan kuasa melaksananya terletak pada badan kehakiman iaitu Mahkamah.

Ah Meng telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan telah dilantik sebagai Perdana Menteri. Selain menjadi pengerusi kepada Jemaah Menteri, tugas Ah Meng ialah menasihati Yang di Pertuan Agong di dalam soal perlantikan seorang Ketua Hakim Negara. Nasihat yang diberikan oleh Ah Meng kepada Yang DiPertuan Agong hendaklah mendapat persetujuan Majlis Raja-raja. Ah Meng akan terus menjadi Perdana Menteri setakat tempoh yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan tertakluk kepada kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ah Meng juga tertakluk kepada sokongan rakyat yang menjadi pengundi di konstituensi yang mereka dipilih secara majoriti. Ah Meng pula hanya boleh mentadir negara Malaysia melalui Jemaah Menteri yang disusun atur olehnya. 

Pendek kata, Ah Meng bersama Jemaah Menterinya mestilah mempunyai bakat kepemimpinan yang hebat jika Ah Meng ingin menjadi seorang Perdana Menteri berlandaskan Perlembagaan. Ah Meng juga mesti memimpin Jemaah Menterinya berdasarkan kedaulatan undang-undang. Kedaulatan undang-undang pula mestilah selari dengan konsep keadilan melalui undang-undang. Ah Meng bukanlah seorang Ketua Utama Persekutuan dan dia bukanlah pemimpin tertinggi angkatan tentera persekutuan. Ah Meng hanyalah seorang ketua demokrasi berParlimen. 

Perlembagaan memberikan ruang dan peluang kepada Ah Meng untuk menjadi Perdana Menteri kerana ianya adalah hasil daripada suatu keputusan Kontrak Sosial sebelum wujudnya negara ini. Kontrak Sosial yang berlaku itu adalah benih yang menumbuhkan sebuah negara yang hari ini dinamakan sebagai Malaysia. Tanpa kontrak sosial tersebut, negara Malaysia tiada kewujudannya. Yang ada hanyalah negeri-negeri Melayu yang dinaungi British dan dua wilayah jajahan British di Semenanjung Tanah Melayu. Juga ada dua wilayah di Borneo yang ditadbir oleh kerajaan British. 

Setakat hari ini, semua rakyat bagaikan bersetuju secara senyap bahawa Perdana Menteri Malaysia mestilah seorang Melayu yang beragama Islam dan lahir di Semenanjung Tanah Melayu. Hari esok pula ditentukan oleh generasi hari ini akan siapakah yang mesti menjadi seorang Perdana Menteri Malaysia. Apapun makna merdeka bagi sebuah negara yang bernama Malaysia mestilah berdasarkan kepatuhan penuh kepada Perlembagan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment