Sunday, February 2, 2014

Ayuh faham apakah itu kemerdekaan dan apakah itu undang-undang?

31 Ogos 1957 adalah tarikh yang ditetapkan oleh para perunding kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai hari untuk mengisytiharkan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Apakah status kedaulatan Persekutuan Tanah Melayu sebelum tarikh tersebut? Ya, sebelum 31 Ogos 1957, setiap inci tanah di suatu kawasan geografi yang pernah dinamakan Persekutuan Tanah Melayu ini bolehlah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu; (1) Negeri-negeri Melayu yang ditadbir oleh Sultan dengan bantuan penasihat kerajaan British, iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Pahang dan Terengganu  adalah negeri naungan British, dan (2) Negeri-negeri Selat, iaitu, Pulau Pinang dan Melaka yang merupakan tanah jajahan British. 

31 Januari, 1948 adalah tarikh di mana wujudnya sebuah kawasan geografi yang dinamai Persekutuan Tanah Melayu atau Federation of Malaya. Pada masa ini British lebih dikenali sebagai sebagai Komanwel British. Pada tempoh masa ini juga Undang-undang Antarabangsa berkenaan kedaulatan bagi negara-negara yang merdeka secara tidak langsung dipandu arah oleh suatu badan antarabangsa yang dikenali sebagai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). 

Selepas tamatnya, Perang Dunia Kedua, dunia seakan menerima suatu Order Baru iaitu setiap wilayah dan tanah jajahan akan ditentukan kedaulatan bagi masing-masing. Di Asia Tenggara, misalnya, kedaulatan Negara Thailand terus kekal berdaulat dan merdeka sejak abad ke-18. Di Indonesia, gerakan kemerdekaan tanah jajahan Belanda yang dikenali sebagai Hindia Timur Belanda akhirnya mengisytiharkan tarikh 17 Ogos, 1945 sebagai tarikh kemerdekaan wilayah tersebut dari Belanda dan wujudnya sebuah negara baru yang berdaulat dan merdeka yang dinamakan sebagai Indonesia.

Di Semenanjung Tanah Melayu, penggerak-penggerak kepada usaha mewujudkan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka diteruskan. Pemimpin pelbagai kaum duduk berbincang untuk membentuk suatu dasar dan garis panduan kepada Perlembagaan bagi negara yang dihasrat kewujudannya ini. Akhirnya, suatu kontrak sosial dibentuk secara berhemah dan bijaksana.

Persoalan yang dibangkitan sebagai intipati kepada Perlembagan Persekutuan Tanah Melayu ialah siapakah rakyat Persekutuan Tanah Melayu? Pada masa tersebut terdapat dua kelompok besar kaum yang menjadi penduduk di Tanah Melayu. Pertama, ialah masyarakat Melayu di kepulauan Nusantara (rantau Asia Tenggara) dan pribumi Tanah Melayu. Kedua, ialah masyarakat imigran dari tanah besar China dan benua kecil Asia Selatan (India). Akhirnya suatu garis panduan kepada soal kewarganegaraan bagi Persekutuan diputuskan sebagai suatu Kontrak Sosial yang akhirnya diangkat kepada suatu suruhanjaya bagi menyusun perlembagaan yang dinamakan sebagai Suruhanjaya Reid.

Pokok kepada sebuah negara yang berdaulat dan merdeka ialah undang-undang tertinggi bagi negara tersebut mestilah ada dan akan dikuatkuasakan. Undang-undang tertinggi ini dinamakan sebagai Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang inilah yang menyatakan manakah kawasan geografi yang akan diisytiharkan sebagai berdaulat dan merdeka dan siapakah dan bagaimanakah bentuk kuasa yang akan mengurustadbir negara berdaulat dan merdeka itu.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa wilayah geografi yang akan membentuk negara berdaulat dan merdeka ini adalah suatu Persekutuan Negeri-negeri yang akan berdaulat dan merdeka di bawah suatu panji kenegaraan yang dinamakan sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Negeri-negeri tersebut yang juga telah wujud dan terpakainya Undang-undang Tubuh bagi negeri tersebut hendaklah memeterai suatu ikatan undang-undang secara bersama-sama bagi membentuk keesahan, wujud dan pemakaian yang sempurna kepada Perlembagaan Persekutuan ini.

Ikatan undang-undang tersebut dimeterai bersama oleh sembilan orang Raja-raja Melayu dan  dua orang Gabenor Pulau Pinang dan Melaka bagi mewakili 11 wilayah yang bersekutu dengan tujuan membentuk sebuah negara. Hal ini dipersaksikan kepada pemimpin pemimpin dari kalangan rakyat Persekutuan, pentadbir dan wakil dari Kerajan British dan kuasa usaha dari kalangan Komanwel British yang ditentukan. 

Sebelum wujud dan terpakainya Perlembagaan Persekutuan, sudah ada dan wujudnya suatu kuasa yang dinamai sebagai Majlis Raja-raja. Majlis Raja-raja adalah nyawa kepada kewujudan Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya Perlembagaan Persekutuan mewujudkan negara Persekutuan Tanah Melayu.

Sesuatu tanah itu akan hidup jika adanya pokok. Pokok tidak akan tumbuh jika tiada benih yang disemai ke dalam tanah itu. Begitulah hakikatnya kepada sebuah negara. Pokoknya adalah Perlembagaannya dan dalam konteks negara kita benih yang menumbuhkan pokok ialah Majlis Raja-raja yang mengesahwujudkan Perlembagaan tersebut.  

Perlembagaan adalah suatu Undang-undang. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu adalah suatu contoh di mana undang-undang tersebut dilahirkan secara Kontrak Sosial. Ianya disusun oleh suatu suruhanjaya bebas iaitu Suruhanjaya Reid dan melalui suatu proses perundangan yang kompleks melibatkan Parlimen British dan Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu.

Perlembagaan adalah suatu Undang-undang untuk mewujudtubuhkan sesuatu entiti yang sah (legal entity) dan seterusnya bertindak sebagai undang-undang tertinggi kepada urustadbir, kawalseliaan dan perjalanan hidup bagi entiti tersebut. Perlembagaan adalah segalanya kepada entiti yang sah tersebut. Semua perkara yang merupakan soal dasar, prinsip asas dan cara untuk menjalankan sesuatu entiti yang sah tersebut hendaklah digariskan secara jelas dan nyata oleh Perlembagaan.

Bagi sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat, perlembagaan adalah nadi dan nyawa kepadanya. Negara itu dikatakan sebagai sebuah negara yang merdeka adalah kerana kuasa tertinggi (iaitu kuasa manusiawi) yang memerintahnya ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh perlembagaannya. Dan kuasa tertinggi tersebut mestilah dibentuk oleh subjek kepada Perlembagaan itu sendiri. Dan sudah semestilah kuasa (undang-undang) tunggal di mana subjek itu tertakluk adalah terhadap Perlembagaan itu sahaja.

Bagi negara Malaysia, kuasa tertinggi sepertimana yang digariskan oleh Perlembagaan ialah kuasa Yang Dipertuan Agong. Beliau adalah Ketua Utama Negara dan jawatannya adalah secara perlantikan oleh suatu kuasa yang dinamakan sebagai Majlis Raja-raja. Sebelum dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong, beliau mestilah ahli kepada Majlis Raja-raja itu. Dan keahliannya  di dalam Majlis tersebut adalah kerana beliau adalah salah seorang Sultan dan/atau Raja yang sedang memerintah di kalangan sembilan buah negeri yang diketuai oleh Sultan dan/atau Raja. Sudah semestilah dia adalah salah seorang Raja-raja Melayu yang berdaulat dan merdeka.

Malaysia adalah sebuah negara berdaulat kerana pada setiap masa Ketua Utamanya adalah salah seorang Raja-raja Melayu yang berdaulat dan merdeka.
Neraca Keadilan Undang-undang

No comments:

Post a Comment